Sunday, October 12, 2008



TAWAU: Pergerakan Wanita UMNO Kalabakan kelmarin mencalonkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Kamaliah Ibrahim, masing-masing sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia dan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia pada pemilihan Mac tahun hadapan.

Selain itu, pergerakan wanita bahagian itu juga turut mencalonkan Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Hajah Azizah Mohd Dun sebagai Exco Wanita Pusat.

Selain itu, Ketua Wanita UMNO Tawau, Hajah Rosdiana Mohd Noor turut dicalonkan pergerakan bahagian terbabit sebagai Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Kalabakan Datuk Hamisa Samad dan semua ahli jawatankuasa pergerakan itu dikekalkan untuk tempoh 2008-2011 setelah dipersetujui semua perwakilan cawangan.

Sementara itu, Pergerakan Puteri UMNO Kalabakan kelmarin pula mencalonkan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO Pusat dan Nolee Ashilin Datuk Mohd Radzi sebagai Naib Ketua Pergerakan Puteri.

Tidak setakat itu, Puteri Kalabakan juga menyenaraikan Ketua Puteri Semporna, Zakiah Kalipunya sebagai calon Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO pusat dan iga Ketua Puteri Bahagian dari Sabah iaitu Dayang Maimunah Sidek (Sipitang), Inahwyati Jaini (Tenom) dan Saudah Sarzaman (Kimanis), untuk jawatan Exco Puteri Umno Pusat.

Persidangan Pergerakan Puteri kelmarin turut menyaksikan Noraini Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur menggantikan Teresa John sebagai Ketua Puteri Umno Kalabakan, setelah Teresa tidak mempertahankan jawatannya.

Naib Ketua Puteri Bahagian Kalabakan yang baru ialah Hainun Harun.

CAPTION:

Ghapur, Hamisa, Teresa, Mohd Gasing sedang menyanyikan lagu UMNO Bersatu

Wednesday, October 8, 2008


TAWAU: Ketua Umno Bahagian Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur Haji Salleh menggesa calon-calon yang bertanding untuk merebut pelbagai jawatan pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian itu agar tidak sesekali mengamalkan politik wang apatah lagi menghasut atau menabur fitnah.

Perbuatan sedemikian tegasnya bukan sahaja satu amalan yang tidak sihat, malah boleh menjadi barah yang merosakkan keutuhan parti, sekaligus boleh membawa kepada berlakunya perpecahan.

“Pada saya, mereka yang menggunakan wang untuk meraih undi atau menabur fitnah memburuk-burukkan calon lain sehingga menyentuh soal peribadi adalah orang yang pengecut. Orang begini tidak seharusnya dipilih sebagai pemimpin. Yang patut dipilih ialah orang yang boleh bekerja,” kata beliau.

Justeru itu, beliau berharap mereka yang bakal mengundi calon pada mesyuarat terbabit harus bijak membuat penilaian dan tidak menggadaikan maruah hanya disebabkan wang ataupun fitnah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Kg. Sungai Tamang, Pulau Sebatik di sini.

Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kalabakan akan diadakan pada 12 Oktober 2008 depan.

Menyentuh hal berlainan, Ghapur memberitahu bahawa penduduk di Pulau Sebatik akan menikmati bekalan elektrik dalam tempoh dua tahun akan datang, iaitu sebaik sahaja Projek Pembekalan Elektrik Melalui Dasar Laut siap dilaksanakan.

Kerja-kerja bagi melaksanakan projek itu ujarnya akan dimulakan pada awal tahun hadapan, dengan kos RM 100 juta.

Selain itu ujarnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga akan memperuntukkan RM 40 juta, untuk melaksanakan projek pembekalan air bersih ke seluruh pulau tersebut.

Projek itu katanya merupakan projek menyambung pembekalan kemudahan asas berkenaan dari kawasan Kg. Wallace Bay dan Kg. Sungai Tamang, ke Kg. Sungai Tongkang, Sebatik.

Tidak setakat itu, Ghapur juga menyatakan bahawa sebanyak 540 buah rumah yang telah menerima bekalan air bersih di pulau itu akan diberikan bantuan kewangan bernilai RM 27,000, bagi membina bak-bak takungan air di setiap rumah terbabit.

“Pendekatan ini saya rasa adalah jauh lebih baik berbanding dari kita memberikan mereka tangki-tangki air. Bukan apa, ini kerana ada tangki-tangki air yang kita beri sebelum ini disalah-gunakan penduduk,” katanya.

Dalam hal sama, beliau juga memberitahu bahawa 10 keluarga dari Kg. Sungai Bergosong dan Kg. Sungai Tongkang akan mendapat bantuan berbentuk bibit kelapa sawit, untuk ditanam oleh mereka di atas tanah kebun milik mereka.

“Bantuan ini kita berikan untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan diri dan keluarga. Setiap penerima akan diberikan bibit yang boleh ditanam di atas tanah seluas lima ekar. Selain dari keluarga-keluarga ini, kita juga akan berikan kepada penduduk lain yang mempunyai tanah,” katanya.

Namun begitu kata Ghapur, penduduk yang memiliki tanah hendaklah membersihkan terlebih dahulu tanah mereka sekurang-kurangnya seluas lima ekar, sebelum bantuan bibit berkenaan boleh diberikan.

Pelbagai acara menarik telah diadakan pada majlis tersebut seperti persembahan karaoke dan cabutan tiket bertuah.

Di majlis itu, Ghapur bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Haji Abdul Muis Haji Picho dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisa Samad, turut berkesempatan menyampaikan ucapan Hari Raya kepada seluruh penduduk pulau.

CAPTION:

  1. Ghapur menandatangi buku pelawat sambil diperhatikan oleh Muis. Turut kelihatan ialah Hamisa.